PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menyatakan kekesalannya terhadap seorang ‘pakar kesihatan’ dikenali Dr. Tachdijan yang menulis warkah kepada Perdana Menteri menerusi tajuk ‘Cukuplah abah, anak-anak derita’.
Sebagai seorang yang didakwa anggota Kementerian Kesihatan (KKM), beliau berkata, doktor tersebut sepatutnya lebih beretika dan berkredibiliti tanpa menuding jari mencari salah sesiapa dalam menentang musuh yang sama iaitu Covid-19.
Dalam warkah tersebut, katanya, doktor berkenaan telah mendedahkan identiti seorang pesakit kepada umum dengan merujuk kepada seorang individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE).
“Untuk makluman Doktor, ini adalah menyalahi tata etika seorang doktor perubatan. Kerahsiaan pesakit adalah menjadi keutamaan bagi profesion perubatan dan KKM sentiasa menekankan perkara ini.
“Saya harapkan ini bukanlah satu kebiasaan yang Doktor amalkan, kerana KKM sememangnya bergantung kepada Pegawai Perubatan Pakar untuk mendidik Pegawai Perubatan dan Pegawai Perubatan Siswazah,” katanya dalam ‘Coretan Buat Dr. Tachdijan’ seperti dipetik dalam Bernama, di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, sebagai pegawai perubatan di HQE yang lebih arif dengan selok belok di hospital berkenaan, adalah berkemungkinan protokol pengendalian Patient Under Investigation (PUI) yang disahkan Covid-19 ke hospital yang dikhaskan untuk pesakit Covid-19 perlu disemak kembali.
Katanya, kes yang sememangnya telah disahkan status jangkitan sebagai positif Covid-19 dan didapati stabil, akan dimasukkan terus ke wad Covid-19.
Jelas beliau, protokol yang sama digunakan untuk semua kes, tanpa mengira status kes dalam masyarakat dan ada kemungkinan berlaku situasi yang mana kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad Covid-19.
“Sememangnya jumlah kes Covid-19 semakin menaik, terutama di negeri Sabah. Data-data kes harian saya sendiri yang dibentangkan setiap hari di pelbagai platform termasuk di mesyuarat harian bersama Perdana Menteri dan juga sidang media.
“Kini kedua-duanya dijalankan secara persidangan video. Saya juga telah menerangkan tindakan-tindakan yang dilakukan kerajaan bagi memastikan terdapatnya kapasiti ujian di makmal-makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes-kes Covid-19 agar ia mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan (ventilator) dan sebagainya,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Hisham memberitahu, pada awal peningkatan kes di Sabah, petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah.
Katanya, KKM turut menggerakkan pula petugas kesihatan daripada seluruh negeri dan ditempatkan di hospital-hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di daerah itu.
“Sememangnya, tidak dinafikan ia lebih mencabar apabila petugas kesihatan juga dijangkiti Covid-19 sama ada daripada komuniti, tempat kerja, rakan setugas atau semasa pengendalian kes Covid-19. Mereka perlu dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan kontak rapat perlu dikuarantinkan.
“Namun begitu, pujian harus diberi kepada pihak Pengurusan HQE dan juga Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah.
“Pelan mobilisasi diteruskan, perkhidmatan berjalan dan situasi dijangka bertambah baik. Petugas kesihatan terus cekal bertugas sementara lebih ramai pasukan bantuan perubatan tiba,” katanya.
Bagaimanapun, Noor Hisham menghargai pandangan Dr. Tachdijan berhubung stok Personal Protective Equipment (PPE) yang mana perancangan awal perlu dibuat dan stok perlu dipantau rapat.
Justeru, katanya, KKM terus memastikan peralatan itu adalah mencukupi di semua hospital seluruh negara, termasuk di HQE.
“Kelulusan pusat telah diterima pada 2 Oktober lalu bagi permohonan perolehan secara darurat untuk PPE bagi negeri Sabah. Semuanya telah dirancang baik oleh agensi pusat, KKM dan juga JKN Sabah. Sistem data pusat yang kita bangunkan semasa gelombang 1 dan 2 Covid-19 telah mengajar kita untuk lebih bersedia.
“Saya bersyukur kerana KKM tidak sendirian dalam usaha ini. Malahan mustahil bagi KKM bergerak sendiri menangani Covid-19. Agensi-agensi pusat yang lain telah bergerak seiring dengan KKM. Semua pihak bersatu hati melandaikan lekuk semasa gelombang kedua melalui pendekatan “the whole of government, the whole of society approach”,” katanya.
Semalam tular Warkah Dr. Tachdijan itu yang dipercayai bertugas di HQE yang menyatakan peningkatan kes Covid-19 di negeri itu adalah kegagalan pentadbiran kerajaan untuk mengutamakan kesihatan rakyat dengan mengabaikan nasihat daripada KKM dan membiarkan pilihan raya negeri berlangsung sehingga menyebabkan penderitaan ramai orang pada hari ini. -UTUSAN