KOTA BHARU: Tiga sekeluarga yang tinggal di sebuah rumah usang di Kampung Dal, Che Deris, di sini memerlukan bantuan orang ramai untuk membaiki rumah tumpangannya yang semakin uzur.
Pengasas Pertubuhan Amal Kebajikan Cempaka Merah, Che Norhayati Mohamed berkata, keluarga berkenaan sering tidur dalam hujan kerana keseluruhan atap rumah yang didiaminya bocor.
Menurutnya, penghuninya ialah ibu tunggal Wan Aisyah Jaafar, 59, bersama dua anaknya Radiah Osman, 38, dan Mohd. Rozimul Amin, 35, juga mengharapkan api lilin untuk menerangi ruang rumahnya yang tiada bekalan elektrik.
“Rumah peninggalan arwah bapanya itu sudah pun dijual kepada orang lain yang memberi kebenaran kepada mereka untuk berteduh.
” Setiap kali hujan, air bergenang di dalam rumah dan sebahagian bumbung sudah tiada. Hanya satu bilik sahaja yang boleh digunakan untuk berteduh,”katanya ketika ditemui selepas menyampaikan barangan makanan kepada keluarga berkenaan hari ini.
Che Norhayati berkata, Wan Aisyah menghadapi masalah berkomunikasi dengan masyarakat kerana masalah lemah pemikiran termasuk anaknya, Radiah menghadapi masalah yang sama.
Katanya, mereka bergantung sepenuhnya dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan yang diterima Radiah selain mencari lokan di sungai berdekatan untuk menyara kehidupan.
“Pertemuan saya dengan Wan Aisyah untuk memberi sumbangan berjaya dengan bantuan sepupunya. Dia tidak akan bercakap dengan orang yang tidak dikenalinya. Malah, saya difahamkan dia sering bercakap seorang diri.
” Kami bercadang untuk memberi sumbangan lampu solar untuk memberi kemudahan cahaya kepada mereka pada waktu malam,”katanya.
Mereka yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi Pertubuhan Amal Kebajikan di talian 011-25466362 yang memberi kesanggupan untuk mengurus pembaikian atap dan hal-hal yang berkaitan. -UTUSAN