RM6,960 lesap ditipu 'Pos Laju' dan 'polis'  - Utusan Malaysia

RM6,960 lesap ditipu ‘Pos Laju’ dan ‘polis’ 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Seorang pembantu jualan berusia 27 tahun kerugian RM6,960 selepas dipercayai terpedaya sindiket Macau Scam semalam.

Mangsa pada mulanya menerima panggilan kononnya daripada pihak Pos Laju yang mendakwa terdapat bungkusan atas namanya yang berisi kad pengenalan dan pelbagai kad bank yang dikatakan ada kaitan dengan jenayah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, panggilan mangsa kemudiannya disambungkan kepada seorang yang mendakwa anggota polis di Johor bernama Koperal Nizam. 

Katanya, suspek memaklumkan mangsa terlibat dalam kes jenayah iaitu pengubahan wang haram dan memintanya mendedahkan semua maklumat perbankan.

“Koperal Nizam kemudiannya mengugut sekiranya tidak mengikut kehendaknya, mangsa akan ditangkap dan direman.

“Mangsa yang takut kemudiannya telah memberi maklumat perbankan atas talian serta dua nombor TAC yang dihantar ke telefon bimbit mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mangsa kemudiannya membuat semakan ke atas dua akaun miliknya dan mendapati wangnya  telah dipindah ke akaun lain.  

Katanya, mangsa yang yakin sudah terperangkap dengan sindiket penipuan Macau Scam kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan kini dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket. 

“Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali sebaliknya hubungi polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya