RM50,000 bantu pelajar IPT terjejas - Utusan Malaysia

RM50,000 bantu pelajar IPT terjejas

ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak RM50,000 disalurkan kepada pelajar-pelajar institut pengajian tinggi (IPT) yang terjejas berikutan keputusan Kementerian Pengajian Tinggi menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama secara fizikal Khamis lalu.  

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, peruntukan itu merupakan bantuan dalam program misi khas, Musaadah Khas Siswa Siri Pertama kepada dua universiti iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut beliau, kerajaan melalui agensi-agensi agama komited untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira agama dan bangsa. 

Katanya, Misi #MusaadahCOVID19 keseluruhannya sudah menyalurkan RM353 juta kepada 10 kelompok sasar di seluruh negara dan akan diteruskan sehingga keadaan benar-benar pulih.

“Saya yakin semua pihak sedang berusaha atas kapasiti masing-masing untuk meringankan beban siswa yang memerlukan bantuan. 

“Saya doakan semoga semua bantuan dapat dimanfaatkan dengan baik. Insya-Allah #MusaadahKhasSiswa Siri 2 akan menyusul,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau hari ini.

 Dalam pada itu, Zulkifli turut mengajak semua pihak supaya berganding bahu menghulurkan bantuan tanpa bertelagah sesama sendiri.

Katanya, beliau percaya ramai pihak telah dan akan membantu bagi meringankan beban golongan siswa. 

“Kita semua sayangkan Malaysia. Dunia ini begitu kecil jika kita hanya fikir untuk bertelagah. Dunia ini akan dilihat lebih luas jika masing-masing berganding bahu menghulurkan bantuan. 

“Kami bersama-sama agensi agama menyumbang sekadar yang termampu atas kapasiti saya selaku Menteri yang bertanggungjawab dalam tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN