SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 30.68 kilogram (kg) dadah jenis ketamine yang dianggarkan bernilai RM1.7 juta di sebuah rumah kedai di Ampang pada 8 Oktober lalu.
Operasi melibatkan sepasukan anggota kastam dari cawangan penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit III dengan kerjasama Cawangan Narkotik JKDM itu dijalankan selepas mendapat maklumat awam dan risikan pihaknya.
Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, pihaknya berjaya memberkas dua suspek lelaki warganegara asing berusia dalam lingkungan 37 hingga 45 tahun yang sedang berehat di kaki lima rumah kedai tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati dadah tersebut disyaki diimport dari sebuah negara di Asia Selatan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggunakan pesawat kargo dan diikrar sebagai bahan makanan.
“Modus operandi kes ini sangat licik dengan membalut dadah itu dalam plastik lutsinar sebelum diisi dalam kotak bijirin sarapan dan dimuatkan dalam dua kotak besar. Bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa, sebuah kotak lagi diisi dengan kotak bijirin sarapan yang betul,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kargo JKDM di sini hari ini.
Menurutnya, seorang suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah manakala seorang lagi didapati memiliki pasport tamat tempoh perjalanan.
Tambah Abdul Latif, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan dadah yang diimport itu disasarkan untuk pasaran tempatan serta mempunyai penglibatan rakyat tempatan.
Kedua-dua suspek itu direman selama tujuh hari selepas mendapat perintah reman dari Mahkamah Majistret Ampang dan kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Dalam pada itu, beliau berkata, sejak Januari lalu, terdapat 150 kes berkaitan dadah dan pihaknya berjaya membuat rampasan bernilai RM5.06 juta termasuk menahan tiga suspek. -UTUSAN