Rezeki ekspresi foto merdeka bersama CBP - Utusan Malaysia

Rezeki ekspresi foto merdeka bersama CBP

MOHD. Nor Abd Razak (tengah) bersama pemenang Kempen Merdeka bersama Co-opbank Pertama pada majlis penyampaian hadiah kempen di Kuala Lumpur, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) mengumumkan lima pemenang Kempen Merdeka Bersama CBP dianjurkan bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Kebangsaan 2020 berlangsung baru-baru ini.

Kempen Merdeka Bersama CBP yang dianjurkan buat julung kalinya itu bertujuan menyuntik semangat keharmonian dalam kalangan masyarakat menerusi perkongsian foto ekspresi kemerdekaan dalam laman media sosial Facebook dan Instagram CBP.

Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata, pelancaran kempen itu adalah bagi menyuntik semangat keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Selain itu katanya, kempen bermula 14 Ogos hingga 1 September lalu itu menerima lebih 300 penyertaan, sejajar tema Hari Kebangsaan iaitu Malaysia Prihatin.

“Pemilihan pemenang bagi pertandingan kempen ini berdasarkan nilai estetika setiap foto dikongsi peserta yang menyentuh isu semasa dan nilai perpaduan serta keharmonian. Saringan dilakukan menerusi tiga peringkat dan pemilihan foto terbaik mengambil masa lebih kurang seminggu.

“CBP juga merancang menjadikan kempen ini sebagai acara tahunan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan bakal menawarkan hadiah lebih menarik tahun depan,” katanya selepas majlis penyerahan hadiah kepada pemenang kempen di sini hari ini.

Katanya, CBP turut merancang pelbagai program sebagai usaha memperkenalkan jenama organisasi itu dengan lebih luas.

Tempat pertama pertandingan itu dirangkul Puteri Arafah Bahrin yang membawa pulang hadiah sijil deposit Tawarruq CBP bernilai RM1,500 sementara pemenang tempat kedua, Mohd Nazri Sulaiman menerima sijil deposit Tawarruq bernilai RM1,000.

Pemenang tempat ketiga pula, Abdul Aziz Mohad Soffian menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500 dengan pembukaan akaun simpanan i-Salam CBP manakala pemenang tempat keempat iaitu Lim Chun Aun dan kelima, Rafidah Shafie masing-masing menerima wang tunai serta pembukaan akaun simpanan i-salam CBP berjumlah RM 250.

Selain itu, Mohd Nor ketika ditanya mengenai perancangan terkini CBP memberitahu, organisasi itu menjangkakan pembukaan secara serentak dua cawangan baharu di Setapak, dan Manjong, Perak pada pertengahan November 2020.

Katanya, bagaimanapun perancangan cawangan ketiga iaitu di Tawau, Sabah tidak dapat beroperasi pada tarikh yang sama berikutan penularan wabak COVID-19.

“Pembukaan cawangan baharu dijangka dapat memperluaskan prospek pelanggan dan membawa perkhidmatan perbankan terus kepada rakyat. Pun begitu, pelancaran operasi cawangan di Tawau, Sabah terpaksa diperlahankan memandangkan kes Covid-19 di negeri itu,” katanya.

CBP yang ditubuhkan 7 Jun 1950 diiktiraf Suruhanjaya Koperasi Malaysia sebagai sebuah bank pada 2004, kini memiliki 26 cawangan di seluruh Malaysia serta mempunyai modal syer berbayar hampir RM1 billion.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya