SEREMBAN: Seorang pelajar tingkatan dua terpaksa mendapatkan khidmat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban Dua, dekat sini semalam selepas cincin perak yang dipakai di jari manisnya gagal ditanggalkan.
Difahamkan, remaja lelaki berkenaan, telah datang ke balai bomba bersama ibunya pada pukul 10 malam tadi bagi menanggalkan cincin yang dipakainya itu.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Pegawai Bomba Kanan Mohd. Syazwan Saidy berkata, pihaknya mengambil masa 30 minit bagi khidmat khas memotong cincin berkenaan.
Menurutnya, keadaan jari remaja berkenaan semakin membengkak selepas cubaan untuk menanggalkan cincin itu tidak berjaya sejak petang semalam.
“Seramai dua anggota Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) terbabit dalam operasi memotong cincin menggunakan peralatan khas ‘cutter ring’. Manakala, lima lagi anggota membantu menenangkan kanak-kanak tersebut.
“Kami difahamkan, ibunya sebelum itu ada menggunakan pelbagai cara seperti menggunakan minyak dan sabun untuk menanggalkan cincin berkenaan sebelum membuat keputusan untuk datang ke balai bomba,” katanya.
Jelas Mohd. Syazwan, berdasarkan maklumat daripada ibu mangsa, remaja tersebut membeli tiga cincin melalui dalam talian dan mencuba satu persatu cincin yang dibelinya.
“Bagaimanapun, sebaik mencuba cincin yang kedua, ia tidak boleh ditanggalkan sehingga menyebabkan jarinya mula membengkak lalu mendapatkan bantuan khidmat khas bomba malam tadi,” katanya. -UTUSAN