JOHOR BAHRU: Tangkapan melibatkan beberapa pegawai kanan Bukit Aman dalam kegiatan rasuah bukan sahaja dipandang negatif masyarakat malah menjejaskan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, PDRM di bawah kepimpinan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak akan bertolak ansur dalam sebarang tingkah laku rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
Katanya, tangkapan tanpa mengira pangkat itu menunjukkan ketegasan PDRM Dalam memastikan isu rasuah dapat ditangani dengan tuntas dan tidak lagi berulang.
“Kalau kita lihat, tangkapan baharu yang dibuat melibatkan pegawai kanan polis, bukan sahaja di peringkat kontinjen atau negeri malah di peringkat Bukit Aman.
“Mungkin ada pihak yang tidak berpuas hati dengan pendekatan yang digunakan selama ini dilihat terlalu keras dan terbuka, tapi perkara itu sudah lepas.
“Tak perlu lagi kita rasa tidak selesa atau sebagainya. Seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini, kalau ada anggota dan pegawai yang terlibat, kita tidak akan teragak-agak untuk membuka kertas siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis meraikan 320 pesara dan 34 bakal pesara polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Minggu lalu, dua pegawai kanan daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai ada kaitan dengan kes pengubahan wang haram yang membabitkan selebriti tanah air.
Ayob Khan berkata, sejak beliau memegang jawatan sebagai Ketua Polis Johor pada Mac lalu, seramai 21 anggota sudah dituduh di mahkamah kerana melakukan pelbagai kesalahan antaranya kegiatan pemerasan, jenayah dan bersekongkol kegiatan dadah.
“Kalau ada saksi yang sanggup ke hadapan, saya akan membuka kertas siasatan. Sehingga kini, seramai 21 anggota sudah dituduh di mahkamah di atas pelbagai kesalahan,” katanya. -UTUSAN