PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah menghalang rakyat Malaysia dari Singapura untuk pulang ke negara ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, terdapat beberapa kategori permohonan bagi urusan keluar masuk ke Malaysia dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember ini.
Katanya, permohonan itu boleh dibuat melalui MyTravelPass yang boleh diakses di laman sesawang rasmi Jabatan Imigresen www.imi.gov.my.
“Bagi rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tidak mahu pulang dengan menggunakan Periodical Commuting Arrangement (PCA), mereka boleh terus ke Pintu Masuk Bangunan Sultan Iskandar (BSI) atau Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dan perlu menjalani Kuarantin Wajib 14 hari.
“Kebenaran bagi Reciprocal Green Lane (RGL) dan PCA telah diumumkan sebelum ini oleh Kementerian Luar Negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 649 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP dengan seramai 606 individu telah dikompaun, manakala 43 individu pula direman.
Kata beliau, tidak memakai pelitup muka masih mencatat kesalahan tertinggi dengan 213 individu ditahan melibatkan kesalahan itu selain penjarakan fizikal (151), aktiviti pusat hiburan (75), gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran diri (67) dan lain-lain kesalahan (143).
Menurut beliau, sebanyak 59,533 pemeriksanaan dibuat melalui 2,966 pasukan pematuhan yang terdiri daripada 13,453 anggota.
“Operasi Benteng pula telah berjaya menahan 92 pendatang tanpa izin (PATI), serta berjaya merampas empat kenderaan darat.
“Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 26 PATI di Kolam Udang Agriculture, Johor Bahru, Johor,” katanya.
Ismail Sabri berkata, sehingga semalam, seramai 51,235 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,386 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 69 Hotel dan 16 premis lain.
“Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 42,468 individu telah dibenarkan pulang ke rumah,” katanya. -UTUSAN