Pusat kecantikan kereta beri perkhidmatan semburan sanitasi percuma - Utusan Malaysia

Pusat kecantikan kereta beri perkhidmatan semburan sanitasi percuma

NASEER Hamid melakukan semburan sanitasi secara percuma kepada kereta pelanggan di kedainya di Setia Alam, Shah Alam, hari ini.-UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Bagi mengekang penularan Covid-19, sebuah pusat kecantikan kereta di Setia Alam di sini mengambil inisiatif menyediakan semburan sanitasi secara percuma kepada pelanggan sejak awal bulan ini.

Inisiatif murni Pusat Kecantikan Kereta Tuah Setia itu bertujuan memastikan semua kenderaan terutama bahagian dalaman bebas daripada pandemik tersebut.

Pemiliknya, Naseer Hamid, 31, berkata,  idea itu timbul selepas mendapati sebahagian besar pelanggan enggan keluar daripada kereta ketika cucian dilakukan di premis berkenaan.

“Sejak memulakan perniagaan pada Julai lalu, saya pelik apabila lima daripada 10 pelanggan sanggup berada di dalam kereta sehingga habis proses cucian.

“Apabila ditanya punca tindakan sedemikian, mereka memaklumkan enggan keluar kerana bimbang dijangkiti Covid-19,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di sini hari ini.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, dia sanggup mengeluarkan modal sendiri untuk membeli peralatan dan cecair semburan sanitasi.

“Semburan ini diberikan secara percuma pada setiap hari kepada semua pelanggan yang datang mencuci.

“Biarpun terpaksa menanggung kos cecair, tetapi saya tidak kisah kerana apa yang penting adalah kepuasan dan keselamatan pelanggan,” katanya.

Tambah Naseer lagi, orang ramai tidak perlu bimbang kerana produk cecair sanitasi yang digunakannya mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

“Semburan sanitasi ini akan disediakan sehingga tempoh yang diperlukan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

  “Langkah seumpama ini turut diharap mampu membantu usaha kerajaan yang giat memerangi peningkatan kes Covid-19 ketika ini,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya