PUTRAJAYA: Individu yang pulang dari Sabah sebelum 27 September lalu dinasihatkan menjalani ujian saringan Covid-19, sama ada bergejala atau tidak.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi yang mempunyai gejala seperti batuk dan demam serta kontak rapat dengan individu positif Covid-19, mereka dikehendaki hadir ke pusat kesihatan daerah (PKD) terdekat dan memberitahu kepada petugas kesihatan mengenai sejarah perjalanan ke negeri itu.
“Sekiranya tiada gejala ataupun kontak rapat dengan individu positif Covid-19, mereka dinasihatkan hadir membuat ujian saringan dan ujian calitan tersebut,” katanya dalam laporan harian Covid-19 di sini hari ini.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan hanya individu yang pulang dari Sabah dari 27 September hingga 10 Oktober diwajibkan menjalani saringan Covid-19 dan diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO). – UTUSAN ONLINE