Premis makanan bukan Islam salah guna logo halal - Utusan Malaysia

Premis makanan bukan Islam salah guna logo halal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Dua premis makanan bukan Islam di bandar ini dikesan menyalah guna logo halal untuk mengaburi masyarakat Islam kononnya menyediakan makanan halal dalam serbuan oleh pihak berkuasa di sini semalam.

Pemeriksaan mendapati, sebuah premis penyediaan makanan di sini tidak pernah memohon sijil halal manakala sebuah lagi premis menjual roti dan kek terbesar di sini menggunakan sijil halal yang sudah tamat tempoh.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, pemeriksaan  dilakukan setelah mendapat maklumat awam berhubung penggunaan logo halal yang meragukan.

Berikutan itu, sepasukan lima Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Teluk Intan diketuai oleh Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Mohd. Badrul Hisham Ahmad Alias bersama tujuh pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menjalankan pemeriksaan di dua premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan di premis pertama mendapati premis menjalankan  perniagaan penyediaan makanan itu menggunakan logo Halal Malaysia. 

“Siasatan awal menemukan seorang wanita bukan Islam berumur 41 tahun yang bekerja sebagai penyelia di premis perniagaan tersebut yang menyatakan syarikat itu memulakan operasi sepenuhnya pada Januari 2020,” kata  kenyataan KPDNHEP di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, semakan awal dengan Pegawai JAIPk mendapati tiada permohonan sijil halal dibuat oleh premis perniagaan tersebut.

Sehubungan itu, pihak KPDNHEP Teluk Intan telah menyita beberapa dokumen dan barang–barang lain sebagai bahan bukti.

“Pemeriksaan di premis kedua  yang menjalankan peniagaan menjual kek dan roti terbesar di Teluk Intan mendapati syarikat itu pernah mempunyai sijil Halal tetapi telah tamat tempoh. 

“Daripada pemeriksaan tersebut, pihak JAIPk memaklumkan bahawa terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytihar serta diragui status halal bahan tersebut.

“Sehubungan itu pihak KPDNHEP telah menyita logo Halal Malaysia dan beberapa dokumen lain berkaitan,” katanya.

Menurut KPDNHEP, kes itu telah melanggar Perenggan 4 (2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) (Pindaan) 2012 dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8 (a) Perintah yang sama. 

Katanya, mengikut Perenggan 8 (A) dan (B) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2012, syarikat tersebut apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 bagi pertubuhan atau perbadanan.

“Jika individu pula, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya