KULIM: Kegiatan seorang lelaki menggunakan ubat batuk sebagai campuran ramuan di dalam air ketum yang dimasak terbongkar selepas polis melakukan sebuah di sebuah stor di Jalan Taman Serai Wangi, Padang Serai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Azhar Hashim berkata, polis yang menjalankan serbuan pada pukul 5 petang di tempat memproses daun ketum itu menemukan tiga botol ubat batuk yang dipercayai digunakan sebagai campuran ramuan.
Katanya, ubat batuk tersebut dipercayai menjadi bahan utama untuk meningkatkan khayal pengguna yang ketagih air ketum.
“Ketika serbuan, lelaki terbabit berada di dalam stor dipercayai sedang memproses air ketum dan pemeriksaan lanjut polis menemukan satu tong air yang mengandungi 80 bungkusan plastik lutsinar disyaki air ketum.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai sebuah periuk besar yang mengandungi daun ketum serta peralatan memasak,” katanya di sini semalam.
Azhar berkata, polis juga menemukan satu beg plastik hitam mengandungi daun ketum belum diproses.
Tambahnya, lelaki terbabit bersama barang rampasan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil soal siasat lelaki terbabit baru sebulan menjalankan aktiviti menjual air ketum di sekitar Padang Serai,” ujarnya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.