SHAH ALAM: Dakwaan mengatakan seorang penunggang basikal meninggal dunia selepas basikalnya tersangkut pada besi longkang dan menyebabkan dia jatuh tersembam di pintu masuk Laman Seri, Seksyen 13, di sini hari ini tidak benar sama sekali.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan laporan yang diterima wanita berkenaan tidak meninggal dunia.
Menurutnya, wanita itu dilaporkan mengalami kecederaan pada anggota badannya.
“Kita menerima laporan mangsa kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan swasta di daerah ini dan keadaannya stabil.
“Setakat ini, mangsa belum membuat sebarang laporan polis berkenaan kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam kejadian pagi tadi, mangsa dikatakan sedang melakukan aktiviti berbasikal berdua bersama suaminya.
Bagaimanapun, ketika mangsa berada di belakang mengekori suaminya dipercayai untuk ke rumah abang mereka, tayar basikal yang ditungganginya secara tiba-tiba tersangkut pada besi longkang.
Ekoran kejadian tersebut, mangsa terjatuh dan mukanya tersembam ke jalan raya sebelum suaminya menjerit meminta bantuan daripada orang ramai.
Kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di pintu masuk kawasan perumahan elit itu. Mangsa dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian hidung dan gigi. -UTUSAN