SUNGAI PETANI: Polis menafikan dakwaan yang tular di Facebook kononnya Balai Polis Sungai Petani di sini ditutup berikutan 32 anggota di balai itu menjalani kuarantin di rumah selepas menjalani ujian saringan Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pada masa ini, balai polis itu masih dibuka dan beroperasi seperti biasa.
Menurutnya, seramai 18 anggota polis yang bertugas di balai polis berkenaan telah menjalani saringan oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Kesemua anggota yang disaring kini sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing dan seluruh kawasan balai itu sudah disanitasi bagi mencegah penularan wabak Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, satu laporan polis telah dibuat terhadap pemilik akaun Facebook terbabit yang bernama Mohd. Faiz Basri.
“Kita akan ambil tindakan mengikut lunas undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terhadap mereka yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian sehingga boleh memudaratkan keharmonian masyarakat khasnya penduduk di daerah Kuala Muda,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE