Polis Melaka pertahan tindakan kompaun di stesen minyak - Utusan Malaysia

Polis Melaka pertahan tindakan kompaun di stesen minyak

GAMBAR yang dikongsi dalam Facebook Polis Melaka memaparkan seorang pengawal keselamatan dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka ketika mengisi minyak di Bukit Beruang, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang ramai yang berada di tempat awam termasuk stesen minyak tertakluk kepada keperluan memakai pelitup muka mengikut kebiasaan baharu yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, mereka boleh dikenakan tindakan kompaun sekiranya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu.

Menurut beliau, tindakan kompaun terhadap seorang individu yang tidak memakai pelitup muka ketika mengisi minyak di sebuah stesen minyak di Bukit Beruang, di sini tidak sepatutnya diperbesarkan.

“SOP pemakaian pelitup muka telah diterangkan dengan jelas sejak arahan itu dikeluarkan MKN. Antara tempat yang diwajibkan pemakaian pelitup muka ialah di stesen minyak, jadi ia bukanlah satu isu.

“Sekiranya masih tidak berpuas hati, boleh semak di laman web MKN dan baca mengenai SOP pemakaian ‘face mask’ (pelitup muka) di tempat awam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas persoalan warganet mengenai penularan isu kompaun yang dikenakan kepada individu yang tidak memakai pelitup muka di sebuah stesen minyak, Rabu lalu.

Justeru itu, Eng Lai menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada dikompaun, sekali gus memutuskan rantaian Covid-19 di negeri ini.

Terdahulu, Facebook rasmi Polis Melaka memuat naik satu hantaran memaparkan operasi yang dijalankan pasukan Op Covid-19 IPK Melaka yang mengenakan kompaun terhadap seorang pengawal keselamatan.

Lelaki itu dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Dalam hantaran sama, lelaki yang bekerja di sebuah kilang itu perlu menjelaskan kompaun tersebut dalam tempoh 14 hari di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

Sementara itu, semakan semula di Facebook Polis Melaka mendapati hantaran tersebut telah tiada, namun beberapa pengguna Facebook lain sempat melakukan cetakan skrin perkara itu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN