PASIR MAS : Polis Kelantan telah mengeluarkan sebanyak 35 kompaun kepada pemilik premis di negeri ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pelaksanaan PKP Pemulihan (PKPP).
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, tindakan itu memperlihatkan betapa seriusnya agensi penguat kuasa berkenaan dalam memastikan pemilik premis mematuhi SOP dalam usaha memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
Menurutnya, pihak polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi SOP.
“Hasil pemeriksaan yang kita jalankan kebanyakan pemilik premis gagal menyediakan cecair pembasmi kuman, alat pemeriksa suhu badan dan buku rekod kedatangan pelanggan..
“Ia sekaligus melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas turun padang meninjau pematuhan SOP di Pasar Tasek Raja di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif dan Ketua Jajahan Pasir Mas Nik Mohamed Nor Nik Ishak.
Shafien memberitahu, tahap kepatuhan rakyat terhadap terhadap SOP di seluruh negeri ini berada pada 95 peratus.
Katanya, jumlah itu memperlihatkan pemahanan dan pematuhan SOP semakin bertambah baik.
“Kita harap tahap ini akan terus kekal agar rantaian pandemik Covid-19 berjaya di putuskan.
“Alhamdulillah, setiap kali orang ramai melihat kehadiran anggota penguatkuasa mereka terus memakai pelitup muka,”,” ujarnya
Dalam perkembangan lain Shafien berkata, sepanjang tempoh Mac hingga semalam sebanyak 986 kompaun telah dikeluarkan kepada mereka yang melanggar SOP.
Katanya, gagal memakai pelitup muka menjadi penyumbang tertinggi kepada kompaun tersebut. -UTUSAN