KLANG: Polis Klang Selatan menolak sebanyak 115 permohonan rentas negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 9 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pihaknya menolak permohonan itu berikutan pemohon memberikan alasan yang tidak munasabah selain tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Sepanjang tempoh tersebut, kita menerima sebanyak 2,900 permohonan daripada orang ramai dan telah meluluskan 2,785 permohonan.
“Kelulusan ini diberikan kepada pemohon kerana mereka mempunyai alasan yang kukuh dan munasabah.
“Permohonan yang ditolak ini biasanya tidak mengikut SOP ditetapkan antaranya ingin bergerak secara beramai-ramai dalam satu kenderaan. Oleh demikian, kita menasihati pemohon supaya hanya individu yang berkepentingan sahaja melakukan permohonan untuk rentas negeri,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata, kelulusan untuk mendapatkan permohonan rentas negeri bergantung kepada sebab dan alasan pemohon.
“Sekiranya kes yang dihadapi pemohon melibatkan hal-hal kecemasan kelulusan akan diberikan dengan kadar segera.
“Bagaimanapun, berbeza dengan kes yang tidak melibatkan kecemasan, masa yang diambil mengambil antara tiga hingga empat jam bagi membolehkan pegawai terlibat membuat semakan terlebih dahulu,” ujarnya. -UTUSAN