KLANG: Walaupun kerajaan telah mewajibkan pemakaian pelitup muka sejak Ogos lalu, masih terdapat segelintir individu yang mengamalkan sikap sambil lewa berhubung perkara tersebut.
Ini dapat dijelaskan menerusi 109 individu yang dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pemantauan pihaknya mendapati masyarakat sering memberikan alasan terlupa memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.
Menurut Shamsul Amar, bermula 9 Oktober lalu hingga semalam, pihaknya telah mengeluarkan 109 saman dan kesalahan yang banyak dilakukan mereka di kawasan tumpuan awam, kedai makan dan kedai runcit.
“Malah, pemeriksaan juga mendapati masih ada terdapat premis-premis yang masih ingkar menyediakan buku catatan nama dan membuat imbasan menerusi aplikasi MySejahtera.
“Kesemua individu yang melakukan kesalahan ini di kompaun serta-merta dan terdiri dalam kalangan usia 18 hingga 60 tahun.
“Kesalahan tersebut dilakukan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) (No 8) 2020,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan meninjau pematuhan SOP di sebuah restoran di sini hari ini.
Tambah Shamsul Amar, secara keseluruhan, pihaknya mendapati kesedaran masyarakat dalam mengekang penularan Covid-19 dengan mematuhi SOP masih berkurangan.
“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa mematuhi SOP termasuk memakai pelitup muka, penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun.
“Malah, mereka juga dinasihatkan untuk mengambil sebarang maklumat dari sumber sah seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan pematuhan SOP,” ujarnya.
Semalam, Selangor mencatatkan 150 kes penularan daripada 589 kes Covid-19 yang dilaporkan 68 kes berbanding kelmarin. -UTUSAN