Polis kesan dalang 'Geng Kana' - Utusan Malaysia

Polis kesan dalang ‘Geng Kana’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Polis mengesan dalang ‘Geng Kana’ yang terlibat dalam lapan kegiatan mencuri kenderaan berat dan pecah rumah di sekitar daerah ini sejak tahun lalu termasuk satu kes yang dilaporkan di Serdang dan Wangsa Maju.

Suspek utama yang dikenali sebagai A. Supramaniam berusia 43 tahun itu dikehendaki polis serta seorang lagi suspek yang dikenali sebagai ‘Ananda’ yang masih bebas kini diburu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian terbaharu melibatkan kes pecah masuk di stor dekat Cyberjaya dengan sembilan kenderaan dilarikan penjenayah terbabit.

“Kejadian berlaku 5 Oktober lalu dan selang tiga hari selepas itu, sepasukan polis daripada Team Op Khas Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang menemukan dua lori jenis Isuzu; dua kereta Iswara; sebuah Forklift jenis Toyota seberat 3.5 tan; lori jenis Mitsubishi; lori jenis Daihatsu, backhoe dan Ford Ranger.

“Empat lelaki tempatan serta tiga lelaki warga Myanmar berusia dalam lingkungan 19 hingga 40 tahun diberkas di Kampung Pulau Meranti, Puchong dan dua daripada mereka mempunyai lima rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Wan Kamarul Azran, jumlah kerugian dianggarkan RM400,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan.

Dalam kes berlainan beliau berkata, seorang bekas banduan berusia 29 tahun diberkas polis awal pagi semalam selepas diekori ketika menaiki kereta Naza Sutra berwarna hitam bersama seorang lagi pemandu.

Katanya, selepas menyedari diekori dari sebuah pangsapuri di Cyberjaya, suspek merempuh kereta polis peronda sehingga terbabas berdekatan sebuah universiti di kawasan tersebut.

“Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dialami anggota polis. Suspek diberkas di Subang Jaya dan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan dadah dan mencuri serta turut ditemukan serbuk putih dipercayai dadah jenis syabu seberat 0.6 gram dalam dompetnya.

“Seorang lagi rakan suspek yang merupakan pemandu kenderaan itu berjaya melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berjaya menangkap tiga lelaki tempatan berhubung kes mencuri kabel elektrik serta kabel berasaskan tembaga di kawasan Dengkil.

Menerusi tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan lima kes lain dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 431(A) Kanun Keseksaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN