SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan sudah mengenal pasti suspek yang membuang sisa buangan hingga mencemarkan sungai Batang Benar di Nilai dekat sini dan yakin individu berkenaan dapat ditangkap tidak lama lagi.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Che Zakaria Othman berkata, pegawainya kini berada di sebuah negeri di mana suspek tinggal dan yakin individu berkenaan dapat ditangkap seterusnya didakwa di mahkamah.
“Selepas menerima laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mengenai insiden ini, kami membuka kertas siasatan dan seterusnya memburu suspek yang disyaki terbabit mencemarkan sungai Batang Benar ini.
“Kami yakin dapat menangkap suspek dalam tempoh terdekat dan membawanya ke negeri ini untuk didakwa,” katanya ketika melawat lokasi pencemaran di Jalan Emas di Kawasan Perindustrian Nilai dekat sini.
Ujarnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana mencemarkan tali air atau sungai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan, S. Veerapan berkata, pihak berkuasa mengambil tindakan menutup sebuah ladang ternakan angsa dan membersihkan tempat pembuangan haram di Kawasan Perindustrian Nilai yang disyaki menjadi punca pencemaran sungai Batang Benar.
“Kami mengesyaki aktiviti pembuangan sisa buangan di Kawasan Perindustrian Nilai ini berlaku tiga atau empat hari lalu manakala ladang ternakan angsa ini sudah beroperasi secara haram selama empat tahun.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sudah mengambil sampel di tapak pembuangan haram di Kawasan Perindustrian Nilai untuk mengetahui sama ada ia bahan buangan berjadual atau bukan.
“Kilang ternakan angsa haram yang terletak di Pajam dan disyaki mengalirkan bahan buangan ke sungai Batang Benar sudah diarahkan tutup serta merta,” katanya.
Tambahnya, pihaknya masih menunggu analisis sampel sungai Batang Benar bagi mengetahui sama ada pencemaran di situ sama seperti sampel di sungai Semenyih, Selangor yang turut tercemar sehingga dua Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas menyebabkan puluhan ribu penduduk di negeri itu terjejas baru-baru ini.
Kerajaan negeri Selangor sebelum ini mendakwa aktiviti pembersihan ladang angsa dan kawasan Perindustrian Nilai 3 dipercayai menjadi punca sungai berkenaan tercemar sebelum mengalir ke Sungai Semenyih.
Sungai Batang Benar mengalir terus ke Sungai Semenyih dan terletak sejauh kira-kira 30 kilometer dari LRA Sungai Semenyih. -UTUSAN