PN hanya kerajaan campuran - Utusan Malaysia

PN hanya kerajaan campuran

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: UMNO atau Barisan Nasional (BN) tidak pernah berada dalam organisasi Perikatan Nasional (PN), sebaliknya hanyalah kerajaan campuran yang menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kalau bukan kerana sokongan 39 ahli Parlimen UMNO dan BN, berkemungkinan Muhyiddin tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, kemudian tidak ada persefahaman untuk (menubuhkan) kerajaan baharu, akhirnya ketika itu ahli Parlimen (UMNO) memberi sokongan kepada Muhyiddin… ketika itu tidak timbul lagi PN. 

“Selepas tertubuhnya kerajaan ini, maka Muhyiddin dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membawa usul untuk menubuhkan PN… ketika itu kita sudah ada Muafakat Nasional (MN), kerjasama antara UMNO dan PAS.

“Soal kita keluar (PN) itu tidak timbul… cuma soalnya sama ada kita meneruskan atau tidak sokongan dan perkara ini kita (Majlis Tertinggi UMNO) akan mengadakan mesyuarat (dalam masa terdekat),” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Pili Bomba Peringkat Daerah Temerloh di Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Angin, dekat sini semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Biro Politik UMNO yang membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN. 

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, keputusan itu diputuskan Biro Politik UMNO dan perkara berkenaan akan menjadi agenda utama dan dibincang dalam Majlis Tertinggi nanti.

Katanya, semakan semula kerjasama antara UMNO dan Bersatu bukanlah bermakna kerajaan PN sudah tidak berfungsi, namun ia adalah perkara biasa kerana perjanjian asal perlu dipertimbangkan dan dinilai semula mengikut keperluan semasa.

“Semakan balik perjanjian asal perlu (dilakukan) kerana ada perubahan berlaku… ini perkara biasa… dalam mana-mana perjanjian pun, kita ada hak untuk melakukan semakan semula… kena ikut situasi semasa dan saya percaya Biro Politik pun ada asas (alasan) untuk membuat keputusan itu.

“Kita bukan keluar lagi (dari PN)… kita sedang mempertimbangkan,” katanya yang mengakui bahawa suasana politik negara untuk penggal ini sangat mencabar.

Beliau berkata, apa sahaja keputusan Majlis Tertinggi UMNO akan mengambil kira semua faktor, terutamanya keselamatan dan kebajikan rakyat yang kebanyakannya masih terkesan dengan penularan pandemik Covid-19. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya