SHAH ALAM: Semua operasi pasar malam dan aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, selain itu, masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran juga ditutup dalam tempoh tersebut.
“Sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak, taman awam, pusat rekreasi, taman permainan dalaman dan luaran juga ditutup. Segala aktiviti rumah ibadat adalah ditangguhkan sementara sepanjang tempoh ini. Bagi premis seperti restoran, kedai runcit atau serbaneka dan warung dibenarkan beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 10 malam.
“Namun, pembelian makanan digalakkan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran atau bungkus dan bawa pulang (take away),” katanya.
Katanya, waktu operasi bagi pasar biasa dan pasar tani ditetapkan masing-masing bermula pukul 6 pagi hingga 2 petang dan 12 tengah hari.
“Operasi bagi pasar borong pula dibenarkan antara pukul 4 pagi hingga 2 petang.
“Bagi pengangkutan awam seperti bas, teksi dan e-hailing dibenarkan beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam,” katanya.
Tambah Amirudin, waktu operasi stesen minyak pula ditetapkan antara pukul 6 pagi hingga 11 malam.
“Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan juga ditetapkan bermula pukul 8 pagi hingga 11 malam. Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan atau swasta dibenarkan secara 24 jam,” katanya.
“Kerajaan negeri akan sentiasa memantau dan meneliti sebarang perkembangan kes Covid-19 di daerah Klang dan bekerjasama dengan industri dan komuniti untuk memutuskan rangkaian pandemik itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE