PKP dorong bomba Kuala Terengganu bertani - Utusan Malaysia

PKP dorong bomba Kuala Terengganu bertani

Rozizah (tiga dari kanan) bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu di Terengganu yang mengusahakan kebun termasuk menjual hasil tanaman kepada orang ramai sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Penutupan operasi premis-premis makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu mendorong 21 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu di sini mengusahakan projek tanaman sayur-sayuran.

Dengan hanya bermodalkan RM20, tiga kebun sayur-sayuran seperti bayam Brazil, sawi, sawi putih, kangkung, terung, kailan, lobak putih dan bendi di samping tanaman tebu berjaya dibangunkan di sekitar kawasan balai. 

Ketua BBP Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, projek kecil-kecilan yang julung kali diusahakan itu secara tidak langsung membolehkan warga balai tersebut mendapatkan bekalan sayuran yang segar untuk dimasak di rumah.

Katanya, sehingga kini kesemua tanaman itu berjaya dituai sebanyak empat kali. 

“Kita mengambil inisiatif menanam sayur kerana banyak kedai-kedai ditutup pada Mac lalu dan tidak sangka projek kebun yang diusahakan secara serius ini mampu membuahkan hasil yang banyak hingga dapat dijual kepada orang ramai dengan pulangan kira-kira RM100 setiap kali dituai. 

“Kedudukan balai yang bersebelahan Taman Rekreasi Bukit Besar membolehkan sayuran-sayuran laris dibeli pelanggan dalam kalangan mereka yang berjoging,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Menurut Rozizah, masa selama sejam diperuntukkan setiap hari bagi tugasan berkebun oleh anggota yang berkemahiran dalam bidang tanaman. 

Katanya, sebagai perancangan masa depan BBP Kuala Terengganu turut berhasrat untuk mendapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian berhubung kaedah pertanian bandar. 

“Sambutan yang diterima memang menggalakkan hingga ada yang membuat tempahan awal bagi tuaian akan datang. 

“Memandangkan kawasan balai terhad dan tiada ruangan yang luas untuk bercucuk-tanam, jadi projek tanaman hanya melibatkan kawasan sedia ada sahaja,” katanya

BBP Kuala Terengganu dinobatkan sebagai balai cemerlang sejak 2019 hingga kini di samping merupakan antara tiga balai terbaik di Malaysia. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya