Pinjam RM1.1 juta ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Pinjam RM1.1 juta ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Akibat percaya panggilan seorang pegawai polis, seorang guru wanita terpaksa menanggung kerugian lebih RM1.1 juta selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Susulan kejadian itu, satu laporan polis dibuat wanita berusia 49 tahun itu semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang mengaku sebagai pegawai polis memberitahu kononnya kereta mangsa terbabit kemalangan maut dan kegiatan wang haram.

Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan membuka dua akaun bank miliknya dan memasukkan nombor telefon diberi suspek sebagai nombor telefon pemilik akaun.

“Selepas akaun simpanan dibuka, mangsa memindahkan wang simpanan miliknya ke dalam akaun diberikan suspek kononnya bagi tujuan siasatan.

“Dalam pada itu, mangsa juga diarahkan menyediakan wang jaminan menyebabkan mangsa membuat pinjaman peribadi di beberapa bank dan memasukkan wang itu ke dalam akaun diberikan suspek,” katanya.

Mohd. Zaid memberitahu, curiga dengan perkara itu, mangsa menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti suspek.

“Orang ramai diingatkan supaya berwaspada dengan sindiket terbabit dan tidak terpedaya dengan tipu helah mereka yang menyamar sebagai pegawai polis, pegawai bank, pegawai kastam dan sebagainya.

“Nombor telefon digunakan memang dari agensi berkaitan tetapi sindiket menggunakan teknik ‘spoofing’ untuk memperdaya mangsa,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai yang curiga apabila mendapat panggilan daripada individu tidak dikenali boleh  tampil ke balai polis berdekatan untuk sebarang pertanyaan berhubung perkara itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN