SHAH ALAM: Seorang individu yang ditemukan pengsan di Kompleks PKNS Shah Alam adalah berpunca akibat penyakit darah tinggi dan bukannya jangkitan Covid-19.
PKNS Real Estate Sdn. Bhd. (PREC) selaku pihak pengurusan kompleks itu mengesahkan kehadiran Pegawai Kesihatan lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi membantu kakitangan Jemaah Nazir, Kementerian Pendidikan yang jatuh sakit di premis tersebut.
“Prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan menetapkan para petugas menyelamatkan pesakit (tanpa mengira jenis penyakit) dengan memakai PPE ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Berdasarkan sumber sahih, individu terbabit mempunyai penyakit darah tinggi dan bukan disebabkan oleh jangkitan Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, satu gambar menunjukkan kakitangan kesihatan menolak seorang individu yang didakwa pesakit Covid-19 tular di media sosial.
Tambah kenyataan itu, individu yang menyewa di Kompleks PKNS Shah Alam itu dihantar ke Hospital Shah Alam untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Individu terbabit kini berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar,
“Pengurusan PREC sentiasa memastikan Kompleks Shah Alam dan semua aset syarikat selamat untuk dikunjungi orang ramai.
“Proses sanitasi bangunan dilakukan secara berkala dan SOP yang dikuatkuasakan kerajaan turut dipatuhi. Langkah itu bagi memastikan kesemua pusat beli-belah milik PREC adalah selamat sepenuhnya,” ujarnya. -UTUSAN