Permohonan beku wang PetroSaudi 10 Nov. - Utusan Malaysia

Permohonan beku wang PetroSaudi 10 Nov.

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah penuh pembekuan berjumlah melebihi AS$340 juta milik PetroSaudi International Ltd. (PSI) yang dikaitkan dengan dana diseleweng dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke 10 November ini.

Permohonan tersebut sepatutnya didengar di hadapan Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali pada 5 Oktober ini namun terpaksa ditangguhkan kerana terdapat perkembangan terkini.

Tanpa memperincikan perkembangan tersebut, peguam, Alex Tan yang mewakili PetroSaudi Oil Services (Venezuela) Limited (PSOS-VZ) memaklumkan, disebabkan perkara itu, pihak-pihak terlibat perlu memikirkan semula keadaan mereka dalam permohonan tersebut.

“Kami juga perlu mendapatkan arahan lanjut mengenai perkara ini,” katanya. 

Hadir dalam prosiding hari ini ialah peguam Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mewakili pengarahnya, Tarek Obaid yang turut memaklumkan perkara sama.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mohd. Nazlan membenarkan permohonan kerajaan bagi mendapatkan perintah interim untuk menyekat PSI, Obaid dan PSOS-VZ untuk memindahkan wang tersebut kepada entiti lain.

Bagaimanapun, perintah interim tersebut tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya selepas National Crime Agency (NCA) yang berpengkalan di London berdepan dengan kesukaran tentang cara pelaksanaannya.

Mahkamah Tinggi di sini pada 19 Ogos lalu bagaimanapun membenarkan permohonan PSOS-VZ untuk menggunakan AS$1.357 juta bagi bayaran perbelanjaan perniagaan dan yuran guaman.

Wang AS$340,258,246.87 juta kini tersimpan dalam akaun bank perantara atas nama Temple Fiduciary Services Limited di Barclays Bank, United Kingdom dan tidak digunakan.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 Julai lalu, kerajaan memohon perintah bagi menyekat sebarang urusan kewangan, berjumlah US$340 juta milik PSI dan anak syarikatnya, PSOS-VZ yang dipegang oleh Clyde & Co. LLP.

Kerajaan juga memohon sekatan sama bagi sejumlah wang yang tidak dinyatakan nilainya dan disimpan di Barclays Bank di bawah penama ‘Temple Fiduciary Services’.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) dan menamakan Obaid, PSI, PSOS-VZ, Clyde & Co. dan Temple Fiduciary, masing-masing sebagai responden pertama hingga kelima. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya