Peristiwa 42 tahun segar di ingatan Wan Norasmara - Utusan Malaysia

Peristiwa 42 tahun segar di ingatan Wan Norasmara

WAN Norasmara Wan Sulaiman ketika masih bertugas sebagai anggota tentera 42 tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Pengalaman ngeri ditembak komunis ketika sedang bertugas di sekatan jalan raya di Pekan Damak di sini pada 1978 masih segar diingatan seorang bekas tentera kerana detik hitam itu bagi dirinya ibarat ‘mati hidup semula’.

Menyorot kembali peristiwa 42 tahun lalu itu, Wan Norasmara Wan Sulaiman, 63, berkata, pada waktu itu dia dan beberapa rakan setugas sedang bertugas di Pos Kawalan Sekatan Jalan Raya di Pekan Damak pukul 6.05 pagi pada 27 September 1978.

Menurut, ketika sedang berkawal, mereka tiba-tiba diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis yang datang dari dua arah.

“Saya yang ketika itu berusia 21 tahun cedera ditembak di paha kanan. Walaupun cedera saya tidak tumbang tetapi membalas tembakan.

“Melihat saya cedera, dua rakan sepasukan membalas tembakan bertubi-tubi menyebabkan sekumpulan komunis melarikan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sebagai bukti komunis pernah bermaharajalela di daerah ini, dia masih menyimpan keratan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 28 September 1978 bertajuk ‘Askar Wataniah cedera kena tembak’.

Wan Norasmara berkata, ketika kejadian anggota dari Rejimen Askar Wataniah menjalankan sekatan jalan raya di pekan berkenaan kerana gerakan komunis aktif di Jerantut, Raub dan Bentong.

“Pada masa itu jalan Jerantut-Kuala Lumpur merupakan laluan penting ke daerah berkenaan. Sekatan jalan raya yang dibuat tentera membantutkan pergerakan kumpulan komunis” katanya yang tinggal di Bukit Betong, Lipis.

Menurutnya, dalam tahun 1970-an kawasan di daerah Jerantut, Raub dan Bentong diibaratkan ‘kawasan kembar’ kegiatan komunis di negeri ini.

Beliau berkata, dia pernah ditugaskan membuat sekatan jalan raya di Cheroh dan Simpang Teranum daerah Raub, Ketari, Bentong dan Batu Balai, Jerantut yang dipercayai ramai yang terpengaruh dengan fahaman komunis. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN