PUTRAJAYA: Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan mulai esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan tersebut serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.
Menurut beliau, semua pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan itu adalah tidak dibenarkan dan hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan tersebut dibenarkan termasuk jenis-jenis perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, kemasukan ke Sabah adalah tidak dibenarkan kecuali bagi warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas-pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan pasangan yang menjalankan Perkhidmatan Perlu.
“Selain kategori ini, mereka diwajibkan mendapatkan kebenaran khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.
“Kerajaan akan terus berbincang dengan Kerajaan Negeri Sabah untuk memantau situasi di seluruh daerah dan akan mendapatkan nasihat Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa sebelum mengambil sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri berhubung situasi semasa Covid-19 di seluruh Sabah, di sini hari ini.
Ismail Sabri memberitahu, antara prosedur operasi standard (SOP) lain yang ditetapkan dalam perintah PKPB itu ialah hanya dua orang sahaja dari sebuah rumah dibenarkan untuk keluar bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan atau keperluan rumah.
Katanya, perniagaan bukan Perkhidmatan Perlu hendaklah ditutup manakala restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi antara 6.00 hingga 6.00 petang termasuk pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran atau bawa pulang sahaja.
“Waktu operasi stesen minyak antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja selain operasi pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.
“Waktu operasi klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam dan farmasi atau kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut, aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan beroperasi namun pergerakan petugas atau penumpang perlu mendapatkan kelulusan polis terlebih dahulu.
Katanya, penduduk yang bekerja tidak dibenarkan keluar dari kawasan dan tidak boleh bekerja sepanjang tempoh PKPB dan majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah.
“Semua tempat ibadat, masjid, pusat pengajian tinggi, sekolah, tadika dan taska selain kesemua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab melaksanakan kawalan ke atas kawasan tempatan jangkitan dengan bantuan agensi keselamatan lain. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434,” katanya. -UTUSAN