Peranti, pakej pelan data untuk pelajar IPT - Utusan Malaysia

Peranti, pakej pelan data untuk pelajar IPT

NORAINI AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berita baik buat ratusan ribu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang kini perlu menjalani pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam suasana norma baharu.

Kementerian Pengajian Tinggi melancarkan Pakej Pelan Data dan Peranti kepada mereka demi memudahkan akses proses PdP dalam talian dengan beberapa inisiatif.

Menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad ketika melancarkan pakej tersebut secara maya semalam berkata, usaha itu bagi membantu mengelak penularan Covid-19.

“Ini sejajar semangat kementerian Prihatin agar para mahasiswa bebas daripada wabak penyakit serta selaras dengan era teknologi Revolusi Industri 4.0 dan Revolusi Pendidikan 5.0,” jelas beliau.

Turut serta ialah timbalan beliau, Datuk Dr. Mansor Othman; Ketua Setiausaha KPT, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak serta naib-naib canselor IPT dari seluruh negara.

Mengulas lanjut Noraini berkata, kementerian menyalurkan bantuan tunai RM50 kepada 76,153 orang pelajar baharu melibatkan peruntukan keseluruhan RM3.8 juta bagi mengikuti PdP atas talian.

“Peruntukan ini sebenarnya datang daripada penjimatan perbelanjaan geran pengurusan KPT susulan Covid-19 dan kami percaya ia wajar disalurkan untuk manfaat pelajar,” jelasnya.

Selain itu, kementerian itu ujar Noraini juga akan menyalurkan bantuan Pelan Data kepada 320,396 orang pelajar dari keluarga golongan B40 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM24 juta.

“Ini meliputi 225,784 unit kad SIM diagihkan kepada pelajar dengan kerjasama syarikat telekomunikasi, manakala baki berikutnya menerima tunai bagi beli pelan data,” tambahnya.

Tambah beliau, sebanyak 8,965 unit peranti komputer riba disediakan khusus kepada pelajar di bawah kategori B40 secara bersasar yang dianggarkan bernilai RM13 juta.

“Daripada jumlah ini, seramai 5,965 orang menerima bantuan komputer riba secara percuma dan selebihnya pula dalam bentuk pemberian tunai bagi tujuan yang sama,” kata Noraini.

Diskaun istimewa turut ditawarkan daripada pengeluar peranti seperti Acer dan Samsung bagi bantu pelajar IPT memiliki komputer riba agar dapat mengikuti sesi PdP secara dalam talian.

Noraini menambah, kementerian dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) melancarkan inisiatif Tabung Prihatin Siswa bagi memastikan kelangsungan pelajar meneruskan sesi PdP.

“Inisiatif ini sebagai platform bagi ajak pihak luar bersama-sama KPTmenyalurkan sumbangan untuk meringankan kesulitan pelajar dalam meneruskan PdP tanpa kekangan,” tambahnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya