KUALA TERENGGANU: Seekor penyu jantan dewasa ditemukan mati dipercayai dibunuh nelayan dalam kejadian di Kampung Mengabang Telipot di Kuala Nerus.
Ketua Makmal Penyelidikan Institut Oseanografi dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Uzair Rusli berkata, bangkai haiwan itu ditemukan penduduk kampung berkenaan dalam keadaan menyayat hati, tengah hari semalam.
Katanya, hasil penelitian bersama Jabatan Perikanan mendapati bahagian esofagus terputus seolah-olah dikelar manakala kaki belakang dan ekor pula hancur dimakan biawak.
“Motif pembunuhan adalah kerana penyu tersangkut pada pukat yang ditinggalkan di laut dan lazimnya akan merosakkan pukat,” katanya dalam perkongsian di laman Facebook semalam. – UTUSAN ONLINE