Penjenayah ‘kantoi’ bunyi enjin kereta - Utusan Malaysia

Penjenayah ‘kantoi’ bunyi enjin kereta

Kereta yang dilarikan seorang suspek berjaya ditemukan polis ekoran satu kejadian pecah rumah di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru pada Isnin lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan telah membongkar tindakan seorang penjenayah yang melarikan kenderaan tersebut bersama pelbagai barangan berharga dalam satu kejadian pecah rumah di Taman Puteri Wangsa di sini,  Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, pengadu yang menyedari kehadiran suspek setelah mendengar bunyi itu kemudian membuat laporan polis pada pukul 4.50 petang hari sama.

Katanya, suspek sebelum itu didakwa telah memecah masuk rumah rakan pengadu yang kini bekerja di Singapura dan melarikan kenderaan mangsa.

“Bertindak atas maklumat awam, sepasukan polis Daerah Johor Bahru telah melancarkan Ops Lejang kira-kira pukul 9 malam hari sama dan berjaya menangkap seorang lelaki berusia 35 tahun di Taman Puteri Wangsa.

“Hasil tangkapan ini telah membawa kepada penemuan sebuah kereta yang dilaporkan hilang. Turut dirampas ialah pelbagai barangan elektrik yang dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah yang dilakukan suspek,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Padzli berkata, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan beberapa kes dadah.

“Suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah, boleh menghubungi talian 07-2182323,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN