Penjara Selangor perketat SOP - Utusan Malaysia

Penjara Selangor perketat SOP

MOHD. Sakeri Dollah (kanan depan) menerima sumbangan PPE daripada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Shah Alam, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penjara Selangor memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan aktiviti menziarah banduan dan saringan ke atas banduan baharu bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Sakeri Dollah berkata, penguatkuasaan larangan itu melibatkan Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Puncak Alam dan Penjara Wanita Kajang.

Menurutnya, pihaknya tidak membenarkan sama sekali pergerakan keluar masuk di empat penjara utama tersebut.

“Larangan ini melibatkan kunjungan orang ramai sama ada ahli keluarga atau peguam kepada mana-mana banduan. Kebenaran memasuki penjara hanya diberikan atas urusan tertentu antaranya berkaitan pembersihan dan pembekalan makanan.

“Malah, bagi mengekang penularan virus ini, kita juga menjalankan saringan ke atas banduan baharu sebelum ditempatkan ke dalam penjara di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ketika ditemui pemberita dalam majlis Penyerahan Kenderaan dan Barangan bagi Memerangi Covid-19 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Terdahulu, sumbangan peralatan pelindungan diri (PPE) kepada Jabatan Penjara itu diserahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Mohd. Sakeri berkata, setakat ini, hanya satu kes positif berlaku melibatkan banduan Penjara Wanita Kajang, namun penularannya berjaya dikekang. 

“Buat masa ini, tiada pegawai dan kakitangan dijangkiti Covid-19. Kita sentiasa memantau SOP yang ditetapkan ke atas mereka terutama saringan suhu dan pemeriksaan simptom Covid-19,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya