KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak memperketatkan undang-undang sedia ada termasuk mengenakan hukuman penjara mandatori kepada pesalah-pesalah alam sekitar termasuk pelaku tumpahan minyak di laut dan sungai.
Ini kerana hukuman yang ringan dilihat tidak memberi kesan kepada pesalah alam sekitar.
Pegawai Lapangan Sahabat Alam Sekitar, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, jika penjara dijadikan sebagai hukuman mandatori terhadap pesalah ini, ia lebih efektif selain pencemaran alam sekitar juga dapat dikurangkan.
Katanya, kerajaan perlu mengambil tindakan yang lebih serius menangani isu alam sekitar yang semakin buruk dan isu tumpahan minyak bukanlah pertama kali berlaku di negara ini.
“Sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan lagi penguatkuasaan undang-undang terhadap pelaku pencemaran.
“Sememangnya undang-undang di bawah Akta Seksyen 27 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu melepaskan minyak ke dalam perairan Malaysia dilarang sudah lama ada, namun ia seolah-olah tidak memberi sebarang kesan terhadap pelaku,” katanya sewaktu dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Meor Razak berkata, jika sebelum ini undang-undang mengatakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, namun tidak kesemua pesalah dikenakan hukuman seperti yang diperuntukkan. Ada yang selepas membuat rayuan denda akan dikurangkan.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu jadikan negara-negara maju seperti Singapura dan Jepun sebagai contoh yang mana mereka begitu menitikberatkan kebersihan alam sekitar dan hukuman lebih berat dikenakan terhadap pesalah.
“Pencemaran alam sekitar bukan sahaja merosakkan ekosistem perairan negara malah menjejaskan sumber pendapatan terutamanya para nelayan di kawasan terbabit.
“Selain itu, peningkatan kos barangan juga akan berlaku akibat daripada kesukaran untuk mendapatkan bekalan sumber hidupan laut,” kata-nya.
Sehubungan itu, beliau turut mencadangkan supaya segala kos pembersihan tumpahan minyak tersebut diberikan kepada pihak pesalah sendiri dan bukannya ditanggung oleh kerajaan sepenuhnya.
Menyokong saranan supaya undang-undang alam sekitar diperketatkan, pakar undang-undang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif International Institute of Advanced Islamic Studies (IAIS),
Prof. Madya Dr. Mohamed Azami berkata, beliau menyokong sekiranya hukuman penjara dijadikan sebagai hukuman mandatori.
“Sekiranya undang-undang diperketatkan, sudah tentu pesalah tidak akan ambil mudah dengan kesalahan yang dilakukan dan dengan menjatuhkan hukuman mandatori terhadap pesalah mereka tidak boleh melarikan diri lagi,” katanya.
Menurut beliau, melalui undang-undang sedia ada sekarang, para pesalah memandangnya seperti tidak serius berikutan hukuman yang dikatakan mampu dibayar.
“Denda sebanyak RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun seolah-olah tidak menjadi masalah bagi mereka. Selepas membuat rayuan, denda akan dikurangkan dan kesalahan terutama dalam pencemaran masih berada ditakuk yang sama dan bakal berulang,” katanya. – UTUSAN