Peningkatan Covid-19 tidak jejas perbincangan buka sempadan - Utusan Malaysia

Peningkatan Covid-19 tidak jejas perbincangan buka sempadan

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Perbincangan dan usaha untuk membuka sempadan antara Malaysia dan Singapura masih diteruskan meskipun Johor Bahru telah diisytiharkan sebagai zon merah ekoran peningkatan kes Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara itu tidak perlu dijadikan halangan kerana ketika kes Covid-19 sedang memuncak di Singapura dahulu, penghantaran bekalan asas ke negara itu tetap diteruskan.

“Perbincangan antara kedua-dua negara untuk membuka pintu sempadan tidak terjejas, ia masih berjalan.

“Apa yang penting adalah keupayaan untuk mengawal dan memastikan prosedur operasi standard (SOP) bagi membolehkan sempadan dibuka dipatuhi,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Sambutan Bulan Kesedaran Down Sindrom Sedunia 2020  di sini hari ini.

Kelmarin, Kementerian Kesihatan meletakkan daerah Johor Bahru sebagai zon merah ekoran berlaku peningkatan kes Covid-19 di kawasan sekitar, termasuklah kewujudan beberapa kluster antaranya Kluster Kempas, Kluster Rinting dan Kluster Bayu.

Ekoran itu, sebanyak 376 institusi pendidikan di zon merah negeri ini melibatkan prasekolah, sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan dan juga sekolah antarabangsa diarah tutup bermula esok sehingga 14 November.

Arahan sama turut dikeluarkan kerajaan negeri membabitkan 217 buah institusi pendidikan Islam bawah kelolaan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Tambah beliau, pihaknya masih berharap pembukaan sempadan berkenaan dapat dibuat secepat mungkin bagi membolehkan aktiviti ekonomi antara kedua-dua negara kembali beroperasi seperti sedia kala.

Sementara itu, Hasni turut memberitahu, pihaknya sedang merangka beberapa pelan bagi membantu golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang masih berpanjangan ketika ini.

“Perancangan ini juga sedang dilakukan dalam perbincangan berkenaan Bajet Johor 2021. Belanjawan berkenaan akan memperlihatkan usaha kerajaan negeri untuk membantu semua golongan masyarakat yang terjejas,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya