KULIM: Seorang peniaga yang dalam perjalanan ke Hospital Kulim maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terbabas sebelum melanggar tembok dalam kejadian di Taman Petaling Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 10.23 pagi itu, mangsa, Kho Beng Thek, 63, dari Taman Kempas di sini maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di dada akibat hentakan pada stereng kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan ke Hospital Kulim dengan menaiki kenderaan Toyota Hilux bersama isterinya berusia 50-an.
“Mangsa ke hospital tersebut untuk menerima rawatan selepas mengadu sakit dada,” katanya di sini hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya ke bandar ini.
“Ketika melalui laluan menuruni bukit, mangsa dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tembok longkang,” katanya.
Katanya mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Tambahnya kes di siasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN ONLINE