KUANTAN: Seorang penganggur tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi 18 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM113,263.50 pada Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, Rosaidi Ismail, 47, dituduh tidak menyerahkan sejumlah wang tersebut yang merupakan hasil jualan ayam kepada bekas majikannya, PK Agro Industrial Products Sdn. Bhd.
Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut pada tempoh antara 9 Januari hingga 30 Januari lalu di premis bekas majikannya ketika masih bekerja sebagai jurujual ayam segar.
Bagi semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan tersebut, dia didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang mana boleh dipenjara tidak kurang 12 bulan dan maksimum 14 tahun serta sebat dan denda jika sabit kesalahan.
Setelah mendengar kertas pendakwaan dibacakan, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan jaminan RM36,000 bagi semua 18 pertuduhan tersebut.
Siti Aminah turut menetapkan 30 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhd. Muhairi Mohd. Noh, manakala tertuduh diwakili peguam Rusnizam Abdullah. -UTUSAN ONLINE