Penganggur bunuh rakan berdepan hukuman mati - Utusan Malaysia

Penganggur bunuh rakan berdepan hukuman mati

ANGGOTA polis mengiringi tertuduh, A.S Sitambarasan (tengah) yang berdepan tuduhan membunuh ketika di bawa ke Mahkamah Majistret di Alor Gajah, hari ini.. UTUSAN/ RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Seorang lelaki yang juga penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan membunuh rakannya dalam kejadian bulan lalu.

Tertuduh, A.S Sitambarasan, 28, bagaimanapun hanya mengangguk faham sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurhasmanita Abdul Manap.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama dua lagi individu yang masih bebas telah mencapai niat bersama melakukan bunuh ke atas Sua Chun Chai, 31.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh dihadapan sebuah bengkel kenderaan di kawasan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Pulau Sebang di sini, antara 14 hingga 17 September lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya S.R Arthana, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat serta laporan kimia.

Pada 17 September lalu, sepasukan anggota bomba terkejut selepas menemukan mayat di dalam beg hitam ketika melakukan kerja-kerja memadam kebakaran sebuah kereta Honda Civic Ferio di kawasan itu pada pukul 7.25 pagi.

Beg berisi mayat itu dilaporkan diletakkan di bahagian penumpang belakang.

Berdasarkan siasatan, kereta itu dikatakan dipandu oleh seorang lelaki dan mengalami kerosakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Jejantas Ayer Keroh sebelum ditunda ke kedai tersebut.

Pemilik bengkel bersama pekerjanya mengambil kereta tersebut dan diletakkan di hadapan kedai tanpa dibaiki kerana pemandu tersebut tidak membayar wang perkhidmatan tunda.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya