PUTRAJAYA: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah melaksanakan penerbangan dari Pengkalan Udara Subang bagi misi menghantar kelengkapan Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Tawau, Sabah.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, misi itu menggunakan pesawat angkut jenis A400M dengan membawa kira-kira 14 tan muatan terdiri daripada peralatan perubatan lain daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Mercy Malaysia.
Katanya, antara peralatan perubatan itu ialah seperti sut perlindungan diri (PPE), Isolation Gown, pelitup muka dan Tyvek Suit ke Kota Kinabalu bagi kegunaan pusat kesihatan di situ.
“Hospital Medan ATM di Kompleks Sukan Tawau akan dioperasikan oleh Perkhidmatan Kesihatan ATM melalui Kor Kesihatan Diraja Malaysia dengan kerjasama KKM.
“Hospital itu mempunyai kapasiti 100 katil termasuk empat katil unit rawatan rapi (ICU) yang akan memberi rawatan kepada kes-kes selain Covid-19 yang dijangka beroperasi minggu hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini semalam.
Ismail Sabri berkata, pihak TUDM juga turut mengatur gerak pesawat C130H, 20 Skuadron dari Pengkalan Udara Subang bagi menghantar peralatan perubatan KKM ke negeri itu.
Katanya, selain Hospital Medan Tawau, KKM juga mewujudkan makeshift hospital di dalam fasiliti Penjara Pokok Sena, Kedah melibatkan dua blok bangunan bengkel sedia ada.
Jelas beliau, blok tersebut akan menjadi fasiliti kesihatan sementara bagi merawat pesakit Covid-19 termasuk yang memerlukan bantuan oksigen.
“Fasiliti tersebut boleh menempatkan sehingga 250 orang jika perlu termasuk pesakit dari penjara-penjara di sekitar Kedah yang dijangka beroperasi bermula Selasa ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, aktiviti dalam gimnasium dibenarkan beroperasi seperti biasa di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun perlu mematuhi
prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, ia memandangkan aktiviti di gimnasium dilaksanakan secara individu dengan penjarakan fizikal.
“Bagaimanapun, bagi aktiviti di padang bola sepak komersial dan pusat futsal hanya dibenarkan bagi tujuan latihan dan terhad kepada 10 peserta pada satu-satu masa.
“Kebenaran ini akan berkuat kuasa bermula 19 Oktober dan SOP selanjutnya akan diumumkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat,” katanya. -UTUSAN