Penduduk kesal tulisan papan tanda kampung salah - Utusan Malaysia

Penduduk kesal tulisan papan tanda kampung salah

NAMA kampung Jalan Baruh Kampung Parit Tok Him yang salah kerana sepatutnya Jalan Kampung Parit Tok Hin Baruh ketika tinjauan di sini semalam. -UTUSAN/ WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: Penduduk empat buah kampung di Kuala Kurau di sini kesal apabila nama kampung mereka yang tercatat pada papan tanda yang baru dipasang terdapat pelbagai kesilapan lain dan mengelirukan.

Ia melibatkan papan tanda Kampung Parit Tok Hin Laut, Kampung Parit Tok Hin Baruh, Kampung Teluk Pial Baruh dan Parit Mat Ali Tengah.

Berdasarkan papan tanda di kampung tersebut, terdapat kesilapan termasuk ejaan iaitu Jalan Kampung Parit Tok Him Laut sedangkan yang betul ialah Jalan Kampung Parit Tok Hin Laut.

Lain-lain papan tanda yang salah ialah Jalan Baruh Kampung Parit Tok Him, sepatutnya Jalan Kampung Parit Tok Hin Baruh manakala Jalan Baruh Kampung Teluk Pial sepatutnya Jalan Kampung Teluk Pial Baruh.

Satu lagi papan tanda yang salah ialah Jalan Hujung Parit Mat Ali sebaliknya yang tepat ialah Jalan Parit Mat Ali Tengah dan Jalan Parit Abas ke Parit Mat Ali sepatutnya Jalan Parit Mat Ali ke Parit Abas.

Seorang aktivis masyarakat, Ahmad Jais Ambri berkata, 46, berkata, perkara itu nampak seperti remeh tetapi boleh menyebabkan kekeliruan terutama orang luar.

Ahmad Jais berkata, dia telah membawa perkara itu kepada pegawai di Pejabat Pembangunan Luar Bandar (PLB) Kerian.

“Pihak PLB Kerian mengakui terdapat kesalahan pada pada papan tanda nama kampung namun sukar untuk mengubahnya kembali kerana nama-nama itu telah dimasukkan ke dalam sistem,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Sehubungan itu, Ahmad Jais meminta kesilapan itu segera diperbetulkan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN