Penduduk Kampung Darat berputih mata kebun diserang gajah - Utusan Malaysia

Penduduk Kampung Darat berputih mata kebun diserang gajah

PENDUDUK Kampung Darat, Teladas di Air Putih, Kemaman, Terengganu menunjukkan pokok kelapa sawit yang tumbang diserang kumpulan gajah liar dalam kejadian terbaharu, Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Seramai 50 penduduk di Kampung Darat, Teladas di Air Putih di sini terpaksa menanggung kerugian hampir RM60,000 apabila tanaman kelapa sawit yang diusahakan mereka sejak lima tahun lalu musnah diserang kumpulan gajah liar.

Kejadian terbaharu pada Khamis lalu turut meleburkan impian mereka untuk menikmati hasil pulangan apabila kira-kira 200 batang pokok kelapa sawit yang matang dan boleh dituai, rosak teruk.

Seorang penduduk, Mohd. Yusof Sulong, 65, berkata, serangan haiwan liar itu yang berlarutan sejak dua tahun lalu menyebabkan kalangan pekebun terus dibebani kerugian besar kerana menanggung kos tinggi untuk penanaman semula. 

“Siapa tidak sedih, tanaman yang diusahakan setiap hari dan hampir membuahkan hasil tiba-tiba musnah begitu sahaja. 

“Ini bukan kali pertama saya rugi tetapi sampai bila kami perlu menanggung beban? Ingatkan bolehlah tuai hasil sawit untuk dibuat belanja, namun semua sian-sia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Yahya Abdullah, 59, berkata, mereka yang kini tertekan dengan keadaan itu berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera dan serius dalam menangani masalah tersebut.

Katanya, ancaman berterusan haiwan liar itu turut mendorong penduduk mengambil inisiatif mendirikan khemah kawalan sebagai langkah berjaga-jaga untuk menghalau kumpulan gajah daripada masuk ke ladang mereka. 

“Kadang-kadang kami berjaga secara bergilir-gilir tetapi risau juga keselamatan diri sebab gajah ini bukan seekor tetapi berpuluh-puluh,” katanya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid ketika dihubungi berkata, pihaknya akan meneliti isu tersebut dengan lebih terperinci di samping melakukan pertemuan dengan pekebun dalam masa terdekat.

“Kita juga akan berbincang dengan  kerajaan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mencari langkah terbaik untuk menangani masalah itu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya