Penagih dadah ditahan berbogel - Utusan Malaysia

Penagih dadah ditahan berbogel

SEORANG lelaki memakai kain pelikat melarikan diri setelah menyedari kehadiran anggota AADK di depan rumahnya sebelum berjaya ditangkap semula dalam keadaan berbogel apabila kain yang dipakai itu tertanggal di Merbok, Sungai Petani semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki disyaki penagih dadah nekad berlari dalam keadaan bogel selepas kain pelikatnya tertanggal dalam serbuan Ops Cegah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di rumahnya di Merbok di sini semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 10.15 malam itu, suspek berusia 46 tahun bertindak melarikan diri melalui pintu depan rumah menuju ke kawasan semak, namun, dia berjaya ditahan selepas dikejar penguat kuasa AADK.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, suspek yang terkejut dengan kehadiran penguat kuasa cuba meloloskan diri dengan berlari ke arah bahagian belakang rumahnya.

“Walau bagaimanapun, kain pelikat dipakai suspek dipercayai terlondeh ketika dia cuba melarikan diri dalam keadaan gelap.

“Anggota penguat kuasa yang telah mengepung kawasan rumah tersebut berjaya menangkap suspek dalam keadaan berbogel,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, kata beliau, suspek terbabit merupakan antara 15 individu disyaki penagih dadah yang ditahan dalam operasi di 10 kawasan antaranya di Tikam Batu, Bukit Selambau, Sungai Semeling dan Merbok dekat sini antara pukul 9 pagi hingga 11.30 malam semalam.

“Kesemua 15 suspek itu didapati positif dadah jenis methamphetamine dan ganja,” ujarnya.

Tambahnya, mereka yang ditahan berusia antara 16 hingga 60 tahun disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya