Penagih dadah beri alasan sakit jantung elak ditahan - Utusan Malaysia

Penagih dadah beri alasan sakit jantung elak ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN:  Seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang ditahan bersembunyi di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Teluk Mat Acheh di sini kelmarin memberi alasan kurang sihat kerana sakit jantung.

Suspek berusia 41 tahun merupakan antara tiga individu yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Yan dalam Ops Cegah di tiga kampung mulai pukul 10 malam semalam.

Tiga kampung terlibat adalah Kampung Teluk Mat Acheh, Kampung Tengah Sungai Yan dan Kampung Titi Teras.

Ketua AADK daerah itu, Mohamad Ramli berkata, suspek lelaki terbabit memberi alasan dia berbaring di atas lantai bilik kerana sakit jantung.

“Bagaimanapun, selepas pintu bilik dibuka, suspek mengaku menyembunyikan diri di dalam bilik bagi mengelak ditangkap kerana menagih dadah,” katanya di sini hari ini.

Katanya, suspek dipercayai menipu sakit jantung bagi mengelak ditangkap.

Menurut Mohamad Ramli, dua lagi yang ditahan ialah wanita berusia 39 tahun dan lelaki berusia 46 tahun masing-masing di Kampung Titi Teras dan Kampung Tengah Sungai Yan.

“Wanita yang merupakan ibu kepada dua anak berusia dua dan lapan tahun terbabit mengaku mengambil dadah jenis syabu sejak lingkungan usia 20-an manakala suaminya merupakan orang kena pengawasan (OKP) AADK.

“Suspek lelaki pula dicekup dalam keadaan rumah tidak terurus yang dipenuhi sampah sarap dengan peralatan tajam,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua mereka didapati positif dadah jenis opiat dan methamphetamine dan siasatan dilakukan di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN