KOTA BHARU: Seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian di Kilometer 96.5 Jalan Kota Bharu- Gua Musang, dekat Laloh, Kuala Krai, malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, kejadian ketika mangsa, Ahmad Ilyas Kamarudin, 23, menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 pukul 10.20 malam.
“Ketika itu treler dalam perjalanan menuju ke Gua Musang, telah melintas jalan.
“Pada masa sama mangsa yang menunggang motosikal telah melanggar bahagian tayar belakang kanan treler membawa muatan kayu balak.
“Akibat perlanggaran itu mangsa cedera parah di bahagian kepala, dada dan badan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Krai untuk bedah siasat.
“Jenazah mangsa.kemudian dituntut oleh keluarganya dari Felda Aring, Gua Musang, untuk urusan pengebumian,” katanya.
Katanya, pemandu treler berusia 59 tahun pula tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- UTUSAN ONLINE