Pembuat bot gentian sentiasa dilimpahi rezeki - Utusan Malaysia

Pembuat bot gentian sentiasa dilimpahi rezeki

Seorang pekerja menyiapkan tempahan bot fiber di Kampung Cegar Lapan, Dabong, Kuala Krai, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Permintaan tinggi terhadap bot ketika musim tengkujuh memberi limpahan rezeki kepada pengusaha bot gentian di Kampung Cegar Lapan, Dabong di sini.

Sejak hampir 15 tahun lalu, Basri Mahmud, 50,  tidak menang tangan menyiapkan tempahan membuat bot jenis itu.

Menurut Basri, dia memulakan perniagaan membuat bot jenis itu sejak 2005 selepas permintaan terhadap bot itu meningkat terutama daripada penduduk yang tinggal di kawasan pinggir sungai.

Katanya, setiap tahun dia menerima tempahan lebih 200 buah bot daripada nelayan sungai dan sebagai persiapan untuk menghadapi banjir. 

“Permintaan terhadap bot meningkat terutamanya selepas kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014.

“Kerja-kerja membuat bot ini tidak rumit seperti bot kayu, malah ia lebih tahan lama serta mudah dibaikpulih apabila mengalami kebocoran,” katanya di sini hari ini.

Basri berkata, boleh dikatakan setiap rumah penduduk di kawasan ini menyediakan bot gentian sendiri sebagai persiapan menghadapi bencana banjir.

Katanya, mereka yang memiliki bot gentian itu bukan sahaja menggunakan ketika musim banjir tetapi juga digunakan untuk menangkap ikan.

“Saya mengupah dua pekerja berkemahiran tinggi untuk membuat bot tersebut.

“Selain kawasan Kuala Krai, kebanyakan pelanggan yang datang menempah bot itu dari Tumpat, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Rantau Panjang dan Tanah Merah,” katanya. 

Jelas Basri lagi, dia dapat mengekalkan tempahan bot gentian melebihi 100 buah setahun.

Katanya, bot yang dibuat di bengkelnya itu masih mengekalkan harga berpatutan  dan mementingkan kualiti untuk jangka masa panjang.

“Suatu ketika dahulu saya belajar membuat bot daripada kayu tetapi tidak tahan lama sebelum menukar kepada penggunaan gentian yang lebih ringan dan mudah digunakan.

“Harga juga tidak mahal hanya dijual sekitar RM1,000 hingga RM2,500 sebuah bergantung kepada saiz panjang atau pendek sesebuah bot itu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN