PONTIAN : Pembinaan semula Jambatan Sepah Beruang di Benut yang runtuh akibat aliran air deras pada 2017 dijangka siap pada penghujung tahun ini.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, jambatan sepanjang 64 meter itu amat penting bagi kehidupan seharian masyarakat setempat di kawasan Benut.
“Ini termasuklah dari Kampung Parit Sayang, Parit Lapis Sayang, Kampung Baru Lapis Sayang dan Kampung Baru Kuala Benut yang menjadikan laluan tersebut untuk ke Pekan Benut pada setiap hari.
“Kos pembinaan jambatan tersebut menelan kos sebanyak RM1.5 juta dan mula dibina pada bulan Oktober tahun lalu melalui peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya di sini hari ini.
Tambah Ahmad, dengan siapnya pembinaan jambatan itu akan memberikan kelegaan kepada kira-kira 1,500 penduduk terutamanya pelajar-pelajar sekolah.
“Kami berharap kerja-kerja pembinaan dapat berjalan dengan lancar walaupun ketika ini negara sedang dilanda pandemik Covid-19 memandangkan kerana rakyat sudah begitu lama menunggu.
“Kejadian air deras pada 23 Januari 2017, sehinga memusnahkan jambatan ini telah memberikan kesan besar kepada kegiatan harian yang kini terpaksa menggunakan laluan yang jauh sedikit untuk ke Pekan Benut,” jelas beliau. -UTUSAN ONLINE