JOHOR BAHRU: Pembangunan pesisiran pantai termasuk projek pulau buatan berhampiran Taman Negara Tanjung Piai boleh memudaratkan ekosistem alam sekitar kerana memberi kesan terhadap benteng semula jadi daratan daripada ancaman tsunami dan air pasang.
Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, sekiranya terus berlaku, keadaan itu boleh mendatangkan kesan buruk kepada hidupan darat apabila benteng semula jadi musnah akibat sikap rakus manusia.
Beliau menegaskan, kerajaan sepatutnya menanam semula paya bakau bagi menggalakkan dan memperbaiki ekosistem marin, bukannya memfokuskan kepada projek pembangunan di kawasan pesisiran pantai.
“Taman Negara Tanjung Piai pun sudah tinggal sekangkang kera, ini lagi hendak buat pulau. Negara kita sudah cukup dengan pembangunan di darat dan tidak perlu lagi melibatkan pesisir pantai atau laut yang lebih memudaratkan pergerakan gelombang laut.
“Apabila berlaku, ia bakal menyebabkan berlaku kejadian air pasang besar atau tsunami dan akhirnya menggugat pendapatan nelayan laut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang menyuarakan kebimbangan nelayan di Tanjung Piai, Pontian berikutan kewujudan pulau buatan di kawasan itu yang berkemungkinan memberi kesan kepada kehidupan mereka akibat gangguan ekosistem alam sekitar.
Menurut Shariffa Sabrina, negara perlu mengutamakan soal keselamatan makanan dan air serta kelestarian alam sekitar khususnya di saat dunia berhadapan pandemik Covid-19 yang belum ada titik noktah.
Katanya, projek tambak laut atau pulau buatan tidak perlu ada dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) dalam 10 tahun mendatang.
“Telah sampai masanya kerajaan meletakkan keutamaan memelihara dan memulihara alam sekitar buat masa ini berbanding soal pembangunan pesisir pantai,” katanya. – UTUSAN