Pemantauan di kawasan PKPD-Amirudin - Utusan Malaysia

Pemantauan di kawasan PKPD-Amirudin

AMIRUDIN Shari (dua kanan) mencuba basikal elektrik pada majlis Penyerahan Kenderaan dan Kelengkapan kepada PDRM dan Jabatan Penjara di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Shah Alam, hari ini. -UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memantau dua kawasan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat dan Plaza Hentian Kajang yang kini dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan PKPD di dua kawasan itu adalah adalah keputusan pihaknya berdasarkan situasi terkini Covid-19.

“Pelaksanaan PKPD di dua kawasan ini berikutan peningkatan kes di salah satu kawasan tersebut yang melebihi 80 kes positif Covid-19.

“Kita juga telah mengemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai cadangan yang boleh digunapakai sepanjang tempoh PKPD itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Penyerahan Kenderaan dan Barangan bagi Memerangi Covid-19 di Foyer Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin dan Pengarah Jabatan Penjara Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Sakeri Dollah.

Terdahulu, kerajaan negeri menyalurkan sumbangan kenderaan dan peralatan berjumlah RM1.1 juta kepada dua pihak berkuasa tersebut bagi memerangi Covid-19 di negeri ini.

Sumbangan itu masing-masing lapan jet ski dan 18 basikal elektrik untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala pelbagai peralatan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) kepada Jabatan Penjara.

Kes Covid-19 di Selangor terus mencatat peningkatan apabila semalam sebanyak 126 kes baharu dicatatkan di tujuh daerah negeri ini semalam dan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 4,271 kes.

Semua kes itu meliputi daerah Petaling iaitu sebanyak 60 kes, Hulu Langat (18), Kuala Langat (13), Klang (11), Sepang (10), Gombak (9) dan Kuala Selangor (5).

Mengulas berhubung kes pencemaran sungai, Amirudin berkata, pihaknya berjaya menghalang empat kejadian yang berpotensi mengakibatkan masalah gangguan bekalan air dalam tempoh seminggu ini.

“Kejadian itu termasuk kes terbaharu di Kampung Baru Balakong semalam yang berjaya dikesan awal sebelum mengalir ke sungai berdekatan.

“Semua pihak termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil langkah segera bagi menanganinya dan tiga kes lain sebelum ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya