Pemabuk punca dua remaja maut dituduh di mahkamah - Utusan Malaysia

Pemabuk punca dua remaja maut dituduh di mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK : Seorang pelajar yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian dua remaja perempuan sehari menjelang Aidiladha lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Tertuduh, G. Darvin Raj, 18, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Nor’iza Mohamed.

Tertuduh yang masih bersekolah di tingkatan lima didakwa memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan dua kematian pada 30 Julai, di Jalan Sialang di sini.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda sehingga RM20,000.

Manakala bagi pertuduhan kedua, pelajar itu didakwa mengikut Seksyen 44(1) APJ 1987, kerana memandu dengan kadar alkohol dalam air kencing melebihi kadar yang dibenarkan di lokasi dan waktu sama.

Dia boleh boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 2 November depan sebagai tarikh semula sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Syamilah Jalaluddin manakala diwakili peguam Paul Krishnaraja.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua saudara maut pada malam hari raya Aidiladha selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta Proton Persona dalam kejadian di Jalan Sialang, di sini.

Kejadian pada pukul 6.20 petang meragut nyawa penunggang, Nur Syaza Nadihra Md. Selan, 22 dan pembonceng, Siti Nur Syahira Yazid, 19.

Manakala pemandu yang merupakan tertuduh serta tiga lagi penumpang kereta Proton Persona berusia 20-an terselamat. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN