IPOH: Pelantikan Setiausaha Politik Menteri Besar Perak dari UMNO sepatutnya perlu dibincangkan dengan Badan Perhubungan UMNO Negeri atas semangat setiakawan dan hormat menghormati.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman ‘politik yang tidak sihat’.
“Tanpa semangat setiakawan, kestabilan politik negeri ini akan terancam.
“Saya mendengar penjelasan Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu), kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan dengan pelantikan ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik beliau.
“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila Menteri Besar melantik seorang dari ahli Yang Berhormat dari UMNO, tetapi beliau sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat kebenaran dari parti UMNO,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Isnin lalu, Ahmad Faizal mengumumkan pelantikan Aznel yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gerik, sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Perak yang baharu menggantikan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang diberikan tanggungjawab baharu menguruskan hal ehwal berkaitan tanggungjawab Ahmad Faizal sebagai Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan lain-lain urusan di peringkat Persekutuan.
Katanya, keadaan itu seolah-olah memperlihatkan suasana yang cuba dibina itu tidak dihargai dengan baik apabila satu demi satu tindakan pihak Ahmad Faizal membelakangi semangat ini.
Saarani berkata, tumpuan untuk menjaga kepentingan rakyat tidak diberi penekanan dengan tindakan yang dibuat tanpa semangat musyawarah, berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani.
“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional (PN) sudah tidak dihormati.
“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari, sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai nama EXCO yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.
“Saya juga ingin menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali kami bersuara,” katanya.
Beliau berkata, hakikatnya UMNO Perak mempunyai 25 ADUN, jumlah paling besar di dalam Dewan Undangan Negeri, namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, UMNO tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada PPBM.
Saarani berkata, janganlah disebabkan sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri selama ini dianggap sebagai kelemahan, maka UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba dikhianati.
“Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa dalam waktu pandemik Covid 19 ini.
“Hentikanlah bermain politik dan bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,” katanya. -UTUSAN